Lirik adalah umpama roh kepada kepada sesebuah lagu. Ia membawa arah ke mana lagu itu akan pergi. Dalam lirik itu pula terselit mesej.
Bagi band anarcho punk, Desecrate, mesej adalah elemen terpenting.
DESECRATE dari JB |
Sebab itu, album terbaru mereka, Toxic Relations dijadikan platform untuk mengetengahkan mesej berkisar tentang keburukan perilaku manusia yang memudaratkan manusia yang lain.
Jelas jurucakap Desecrate, Zam, album band dari Johor Bahru itu membincangkan tentang isu-isu semasa yang membelenggu masyarakat ketika ini termasuk gejala keganasan, kemusnahan alam sekitar, ketamakan dan penindasan.
"Pada kami apa yang kami cuba sampaikan ialah mesej. walaupun album baru liriknya tak sekeras dahulu di mana majoriti lagu merupakan lagu anti kerajaan, album terbaru masih lagi diselitkan unsur unsur serupa cuma dalam konteks lebih mendalam dan lembut," katanya kepada Multisynx.
Mengulas lanjut, Zam memberitahu, lagu-lagu di dalam album Toxic Relations mengetengahkan tentang perilaku manusia yang suka-suka menembak manusia di Christchurch, New Zealand iaitu penyalahgunaan senjata api untuk membunuh manusia.
Selain itu, album ini menekankan isu ketamakan manusia membuang sisa-sisa toksik di Sungai Kim Kim sehingga ramai anak-anak sekolah jatuh sakit di Pasir Gudang.
"(Album ini juga membawa isu) Penindasan yang tidak berkesudahan oleh kerajaan untuk memerah keringat rakyat sehingga menyusahkan hidup kita, (selain itu) penipuan oleh pemimpin-pemimpin dunia kononnya mahukan keamanan.
"Tetapi lihatlah sendiri, penderitaan orang-orang bawahan, yang miskin semakin miskin yang kaya semakin kaya, perjuangan untuk terus berkarya walaupun hanya lagu punk," katanya.
Ditanya pula apakah terma 'anarcho punk rock' yang dibawa band itu, Zam menjelaskan:
"Lirik yang keras seperti anti perkauman dan juga anti penindasan. Muzik anarcho merupakan muzik punk ala ala band Conflict, di mana liriknya bertulisan keras.
"(Manakala) punk rock merupakan sebuah genre di mana muziknya sama seperti anarcho tapi lebih melodik," tambahnya.
Sedikit sejarah penubuhan Desecrate, band ini bermula bermain di bawah nama The Teenage Slackers pada tahun 1994. Demo pertama The Teenage Slackers diriliskan pada tahun 1996 dan empat buah lagu telah direkodkan.
Pada 1997, nama band ditukarkan kepada Desecrate dan mereka mengeluarkan sebuah album berjudul Machinations yang mana 10 lagu telah direkodkan untuk album tersebut.
Pada 1998, Broken Noise Records yang dikelolakan oleh Jimbo meriliskan album mereka berjudul MassGenocide, di mana mereka menyelitkan juga 10 lagu dari album Machinations dan juga 10 lagu terbaru menjadikan album tersebut mengandungi 20 lagu.
Gaya muzik mereka pada waktu itu lebih kepada muzik crust punk, sama seperti band-band yang menjadi influence mereka seperti Doom, Detestation, Accion Mutante, Conflict, Total Chaos dan Wolfpack.
Desecrate bagaimanapun dibubarkan pada tahun 1999 kerana ahli band tidak dapat selalu bersama untuk berjamming. Lineup terakhir sebelum dibubarkan ialah : Salihin dan Amir - Vox, Zam dan Cenga - Guitars, Wan Senget - Bass dan Wan Grover - Drums.
Pada 2014, Desecrate dijemput untuk bermain di sebuah gig di Substation, Singapura. Oleh kerana vokalis asal Amir telah meninggal dunia, Desecrate menjemput semula vokalis asal, Beb untuk berganding bahu bersama sama Salihin sebagai Vox, dan juga memanggil semula bassist asal Desecrate, Jali.
Wan Senget dan Zam bermain guitars dan juga Wan Grover bermain drums. Gig itu seperti memberikan mereka suntikan untuk terus membuat lagu lagu baru dan meriliskan album baru. Line up sekali lagi dirombak oleh kerana masalah komitmen dan memperolehi seorang bassist baru, Yan.
Pada 2018, Desecrate meriliskan lagi sebuah album bertajuk Beginning of The End, di mana mereka bereksperimentasi dengan merekod semula lima lagu lama dan lima lagu baru.
Desecrate juga merekrut drummer baru, Jan Jerung. Yan mengundurkan diri pada akhir 2018 dan Desecrate memperolehi dua lagi anggota baru, Nuar AB sebagai bassist dan juga Ejal sebagai guitarist.
Album Toxic Relations yang memuatkan 10 lagu mengetengahkan genre asas Desecrate iaitu masih lagi anarcho punk dan diselitkan juga genre genre lain seperti hardcore, metal dan crust.
Dengan album baharu ini, Desecrate berharap dapat diundang untuk bermain di gig di Malaysia dan juga berhasrat untuk tour Sabah dan Sarawak pada 2020.
Desecrate juga mempunyai rancangan untuk tour di Indonesia dan Jepun, tetapi ia masih di dalam perancangan. Desecrate juga mencari band-band untuk bersama-sama meriliskan split 7" ataupun split LP.
Album Toxic Relations boleh didapatkan melalui bassist mereka, Nuar AB. Desecrate juga mencari label-label dan distro distro yang sudi membantu untuk mendistro album Toxic Relations.
Contact:
Facebook: Desecrate
Lawat juga Bandcamp: Desecrate
No comments:
Post a Comment