SUBCULTURE dulu dan kini |
Subculture, sebagai nama yang tidak asing lagi dalam litar muzik punk rock, telah menyusuri perjalanan yang panjang sejak bermula pada tahun 1991.
Dimulakan oleh dua orang sepupu iaitu Azreen (Vocal, Rhythm) dan Azwan (Lead, Guitar), serta disertai oleh Izmir (Bass) and Sani (Drums), Subculture telah memperoleh kejayaan besar pada 1993 dengan lagu berjudul GT63 menerusi kompilasi legenda, A Circle Of Friends, Malaysian Alternative Music Vol.1.
Kejayaan itu diteruskan dengan penerbitan album ‘Love & Hate’ oleh label independen SZS Production pada pertengahan 1994. Meskipun dengan liputan akhbar yang kurang serta putaran lagu terhad di radio, album ’catchy melodious punk rock & roll’ itu terjual lebih 100,000 unit.
Momentum kecemerlangan itu diteruskan dengan penerbitan album kedua, Time Knock pada 1997. Album ini merupakan satu arah baharu bagi Subculture terutama dengan penambahan elemen-elemen surf music dan akar rock & roll.
Album Time Knock turut menerima pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998 melibatkan 'Rakaman Album Terbaik' dan 'Album Inggeris Tempatan Terbaik'.
Selain itu, mereka juga mengeluarkan video muzik pertama (Turning Around) sementara lagu Tomorrow menjadi lagu berbahasa Inggeris pertama dicalonkan ke Muzik Muzik 1997.
“Sekarang ini, kami nak buat show untuk revisit tahun 1994 dan 1997. Pada waktu ini kami memang berjaya dalam dua album ini. Album pertama, Love & Hate memang killer manakala album kedua, sangat membantu kerana ia banyak memberi kami milage. Album pertama kami sebenarnya trademark Subculture.
“Jadi, kami ingat nak menghimpunkan semula anggota-anggota asal selepas 25 tahun.
“Anggota asal juga nak release material yang telah pun dirakam dalam kaset dan patut dikeluarkan dalam album tetapi tidak dapat buat sebelum ini. Lagu-lagu itu adalah lagu 90-an lebihan daripada abum pertama dan kedua. Kami nak buat balik dan rekod,” kata Azreen ketika dihubungi Multisynx.
Selepas Love & Hate dan Time Knock, Subculture turut mengeluarkan album Retrofungus (2002), The Best of Subculture (2006) dan 365 Days of Punk Rock (2013).
Line up yang turut pernah menyertai Subculture ialah Sharin untuk posisi drum (brain dead) dan Nizam di posisi Guitar (OAG).
Subculture ketika ini dianggotai oleh Azreen, Fao (Guitar), Kabin (Bass) dan Meor (Drum).
Bagi line up sekarang, jelas Azreen, ada juga perancangan untuk aktif semula di dalam scene termasuk membuat persembahan dan mengeluarkan material baharu.
Kalau boleh katanya, ‘comeback’ itu dilakukan dalam sebulan dua ini.
“Lagu-lagu baharu kita telah praktis dan memang sudah ada tetapi tidak sempat rekod kerana tiada masa. Mungkin selepas ini kita akan buat,” katanya.
Ditanya adakah perancangan-perancangan melibatkan anggota asal dan line up semasa itu dilihat terlalu banyak sehingga dikhuatiri membebankan, Azreen berkata, ia bergantung kepada keadaan.
Tambahnya, jika anggota asal Subculture berkelapangan dan mempunyai masa, material melibatkan anggota asal akan dikeluarkan terlebih dahulu, sama juga sebaliknya.
Apa-apa pun bagi pihak Multisynx, kita pasti akan menantikan sebarang material baharu keluaran Subculture.
Discography:
Album
‘Love & Hate’ (1994)
'Time Knock' (1997)
'Retrofungus' (2002),
'The Best of Subculture' (2006)
'365 Days of Punk Rock' (2013)
Single
'Ticket To the Moon' (2009)
'Menari Di Angkasa' (2012)
Kompilasi
'A Circle Of Friends, Malaysian Alternative Music Vol.1' (1993)
'P. Ramlee: Satu Indiepretasi (2011)
Facebook Subculture
No comments:
Post a Comment