Sejak dari zaman rokok Dunhill tujuh berharga hanya RM1.70 dan rokok kretek Surya dalam tin banyak lagi dijual dalam bentuk batang, sejak itulah band ini telah jamming bersama.
Boleh dikatakan studio jamming dari Jerantut sampai Mentakab, membawa ke Temerloh, semuanya telah 'dibaraikan' oleh mereka.
Kini menggelarkan diri mereka KELEDEXX, band hardcore punk dari Pahang ini dibarisi lima anak muda iaitu Kilat di posisi dram, Usop (gitar), Epu (gitar), Payed (vokal) serta Asbu (bass).
"Kome (kami) sebenarnya tubuhkan Keledexx sebab nak main satu gig di Orchid Studio hall, Mentakab.
"Ingatkan lepas habis gig tu terus bubar je Keledexx ni. Tapi sebabkan reaksi positif dari kawan-kawan, Keledexx ada sampai hari ni," kata band itu kepada Multisynx.
Jelas mereka, kemungkinan selepas ini Keledexx akan menambah lagi line up atas alasan 'lagi ramai lagi seronok'.
Ini kerana apabila pergi ke gig akan ada konvoi dua atau tiga buah kereta sekali yang pergi dan jika bermain di luar Pahang, mereka boleh sewa van. Dengan erti kata lain, akan meriah.
"Sebelum ini ada Dulamin di posisi gitar, tapi disebabkan kekangan kerja dan cita-cita terpaksa diganti oleh Epu.
"Setakat ni kome ada keluarkan satu EP - Politikus Mampus diriliskan oleh Nervhous Records dalam bentuk kaset (terima kasih saudara Nizam yang banyak membantu Keledexx riliskan EP ni) .
"Kalau tak silap rilis EP tu bulan Disember tahun lepas (2017). Rilis yang pertama tu 100 keping dan tambah lagi 50 keping untuk pressing yang kedua," katanya.
KELEDEXX dari Pahang |
Menurut mereka, terdapat enam lagu semuanya dalam EP itu termasuk satu lagu cover dari Alleycat.
Kaset tersebut kata mereka masih lagi berbaki dan selalunya apabila terdapat jemputan unyuk bermain gig, mereka akan membawanya sekali kalau untuk dijual.
"Scene sekarang ni meriah. Keledexx juga ada terima jemputan dari organizer untuk main gig. Kadang-kadang tu terpaksa menolak (maaf rodong), bukan tak nak sebenarnya.
"Tapi line up semua ada komitmen Masing-masing. Ada yang baru kahwin. Baru dapat baby, ada yang nak nikah sorang lagi pun ada. Jadinya sibuk sikit lah.
"Jangan pernah serik jemput Keledexx main gig, sebab kome memang seronok sangat dapat berjumpa dengan rodong-rodong semua," ujarnya.
Ditanya tentang masa depan Keledexx, jelas mereka, buat masa ini mereka masih mengumpul material untuk EP baru dan jika ada rezeki awal tahun depan band itu akan masuk studio untuk rakaman.
Berhubung gaya muzik dan influence, kata band tersebut, mereka sekarang lebih berkiblatkan hardcore punk/punk rock dan pengaruh muzik lebih ke arah band kawan-kawan serta band-band termasuk Marjinal, Turtles Jr., Bunga Hitam, Bad Religion.
Facebook Keledexx
No comments:
Post a Comment