Sunday, 1 September 2019

'MEREKA BANGGA DENGAN BAHASA MEREKA, MENGAPA TIDAK KITA?' - HEROINE

Heroine, sebuah band alternative indie rock dari Kuching, Sarawak mengakui bahawa mereka mula terbuka mahu memperjuangkan bahasa Melayu.

Ini selepas mereka melihat perkembangan band-band antarabangsa lain yang berbangga dengan bahasa mereka sendiri walaupun bermain di negara lain.

"Kenapa kita tidak?" soal band itu kepada Multisynx.

Band yang ditubuhkan pada 2008 itu telah mengeluarkan 'Pasca Hibernasi' pada 5 Julai lalu iaitu CD demo pengenalan berbahasa Melayu yang mengandungi tiga trek terawal ciptaan Heroine termasuk Serigala Kota, Serigala Kota versi Proto dan Bang!

HEROINE 


Jelas Heroine, Ia cenderung ke arah genre alternatif indie rock dan berkonsepkan penceritaan mengenai karekter dan peristiwa yang disampaikan dalam bahasa Melayu, atau lebih tepat, Nusantara. 

Tambahnya, inti kepada lagu-lagu itu ada sedikit unsur ketuhanan dan pengamatan pada kejadian yang berlaku di sekeliling. 

"Struktur bagi lagu-lagu ini adalah ia komposisi yang ringkas, sebagai contoh pengulangan verse dan korus yang ringan tanpa ada unsur yang berat. 

"Lagu Heroine sungguh pun liriknya kiasan yang ringan, muziknya cenderung ke arah mood rock & roll," katanya.

Tambah band itu, Trek Serigala Kota sebenarnya adalah lagu projek salah seorang anggotanya, Adim bersama band lama, Orangmutan (2014-2016) yang gagal lalu diolah semula bersama Heroine dengan nafas baru. 

Daripada asal berirama electronica, jelasnya, Heroine merubah trek Serigala Kota kepada 100 peratus berjiwa indie rock, maka kedua-dua versi itu diletakkan bersama di dalam demo ini sebagai perbandingan mood yang wujud hasil dari ciptaan mereka. 

"Bang! pula adalah karya baru bersempena dengan come back Heroine, di mana telah dicipta oleh seorang lagi anggotanya, Coki lalu dikemas serta ditambah oleh yang lain. 

"Mood rock & roll sengaja ditonjolkan dengan berat dari awal lagu dan digabung dengan gaya vokal ala Bobby Gilespie yang bersahaja. Trek ini tiada korus bagi memberi kelainan dan sengaja dipendekkan dengan harapan sentiasa diulang dengar," katanya.
CD Pasca Hibernasi

Untuk rekod, anggota terawal Heroine adalah Coki, Adib, El dan Aemon, teman sepermainan di kawasan perumahan yang sama berkongsi minat pada muzik. 

Mereka mula merakam lagu sendiri dalam Bahasa Inggeris selepas itu lalu mengeluarkan EP pertama yang berjudul The Man Was Lying Down.

Pengaruh awal muzik Heroine adalah dari bunyian British seperti band Buzzcock, Jesus & Mary Chain serta yang seangkatan dengannya. 

Manakala lirik lagu pada masa itu lebih berunsur pengalaman zaman remaja. Signature Heroine pada masa itu selain bunyian gitar yang nyaring adalah vocal Adib yang bersahaja.

Heroine di awal kemunculannya aktif menyertai beberapa gig lokal, sehingga ke Kota Kinabalu, Sabah dan yang paling jauh adalah di Bukit Jalil, Selangor pada 2013. 

Pergerakan Heroine mula perlahan pada tahun-tahun berikutnya ekoran faktor pertukaran ahli, fokus kepada side project band dan kesibukan urusan harian. Ini sekali gus membantutkan perancangan-perancangan mereka sebelum ini. 

Hanya Coki dan Aen adalah ahli yang masih bertahan dan berusaha untuk mengekalkan jenama Heroine dan akhirnya pada tahun ini, Coki selaku frontman mengambil keputusan untuk melakukan penjenamaan semula dengan mengubah bahasa pengantara daripada Inggeris ke Melayu. 

Rombakan ahli kumpulan dilakukan dengan mengambil Adim (bekas band Silwayd/Jaguan) untuk posisi vocal dan penulis lirik, Tariq (dari band Clockwise) untuk posisi gitar kedua, Jojo untuk posisi Bass, Khairi (dari band She’s Nuclear) dan Aen selaku pemukul deram. 

Maka lengkaplah tunjang bagi Heroine 2.0.


Hubungi Heroine di Facebook dan Instagram. Dapatkan CD Pasca Hibernasi di Tandang Store dan Teenage Head.

No comments:

Post a Comment