Friday, 27 September 2019

THE GARRISON TIDAK MAHU TERPERANGKAP DALAM CLICHÉ

The Garrison tak pernah berhenti atau berhibernasi sejak ditubuhkan pada 2006 dan telah menyertai pelbagai acara persembahan yang sama ada mengujakan atau merunsingkan, kira-kira 100 kali.

Terdiri daripada para pemain muzik dengan karakter dan minat yang berbeza, band dari ibu kota itu secara asasnya berteraskan punk, walaupun ia hanya sebagai penanda aras bagi pendengar yang baru.

"Kami tak mahu terperangkap dengan cliché dan klik dalam muzik terutamanya punk yang telah sedia ada walaupun kami sedar kami tak boleh lari daripadanya. Mungkin kami boleh didefinisikan sebagai sebuah kugiran punk tetapi kami sebenarnya tak termasuk dalam mana-mana sub-genrenya.
"Penganjur biasanya meletakkan kami sebagai punk rock 77, atau reggae/dub atau lebih membosankan, berbunyi seperti The Clash. Sememangnya elemen-elemen itu boleh diperolehi dalam muzik kami tapi sebenarnya ia lebih luas daripada itu," katanya kepada Multisynx.

THE GARRISON

Kalau punk itu mengajar untuk menjadi diri sendiri, jelas jurucakap band itu, The Garrison cuba untuk sekurang-kurangnya mencapai 70%, yang disifatkan mereka sebagai sudah cukup bagus. 

Walaupun dalam muzik apa pun yang dimainkan, tambahnya, yang penting adalah pemain-pemainnya mempunyai identiti dan caranya tersendiri bukannya meniru atau cuba menjadi seperti kugiran yang mereka minati.
Sedikit sejarah tentang The Garrison, band itu bermula daripada kawan-kawan kepada sekumpulan buskers di Bukit Bintang. 

Mereka banyak bertukar-tukar ahli dan akhirnya berpeluang bermain di sebuah gig di Annexe Central Market untuk tour band War All The Time. 

Masih lagi bertukar-tukar ahli selepas itu dan akhirnya bersama ahli yang ada sekarang semasa bermain sebuah gig di Noisy Studio sekitar tahun 2008. 

Pengaruh mereka adalah kugiran-kugiran yang penuh bertenaga dan tulen.
 
Pada mulanya memang band itu mengambil unsur-unsur punk rock dari Britain dan Amerika terutamanya kugiran seperti U.K. Subs, The Members, The Clash, The Fall, Gang of Four, Killing Joke, The Freeze, Devo, Black Flag serta artis reggae Jamaica yang berlambak-lambak hebatnya selain daripada Bob Marley.
 
Semakin lama, The Garrison juga memandang kepada artis yang mempunyai pendirian politik yang tegas dalam isu-isu yang diketengahkan seperti Phil Ochs dan Billy Bragg dan mereka juga sukakan satira dan sindiran dalam lagu kugiran seperti The Dead Milkmen dan Splodgenessabounds.

"Kami juga sedar dunia ini dipenuhi dengan muzik yang hebat-hebat seperti Mano Negra, Fermin Muguruza, Tinariwen, Khruangbin, jadi pengaruh bulat-bulat itu seharusnya berhenti awal-awal lagi," katanya jurucakap band itu lagi.


Ditanya tentang perancangan akan datang, The Garrison memberitahu bahawa mereka tidak suka bercakap tentang perancangan akan datang kerana takut tak menjadi.

"Yang boleh dikatakan adalah sebuah album baru sedang dirakamkan yang mungkin mengandungi di antara 16 hingga 20 lagu. Selebihnya tunggu saja apa yang kehidupan telah tetapkan kepada kami," ujarnya.

Facebook

No comments:

Post a Comment